Wednesday, August 18, 2010

Keajaiban Tulang Sulbi (Coccyx)

Bismillahirrahmanirrahim.....


Baru-baru ini saya ada membaca majalah solusi edisi 19. Terdapat satu artikel dari ruangan 'Fizikr' yang membincangkan mengenai Islam dan Sains karangan Dr. Farhan Hadi Mohd Taib yang sangat menarik hati saya. Di dalam artikel ini, beliau membincangkan mengenai tulang sulbi. Pada mulanya saya tertanya-tanya, apakah tulang sulbi ini? Melalui penerangan artikel ini, tulang sulbi ini dalam Bahasa Inggerisnya ialah 'Coccyx' (selama ini saya hanya tahu sebutannya dalam Bahasa Inggeris sahaja). Sejenis tulang yang terletak pada hujung tulang belakang kita yang juga disebut sebagai 'kilang darah' menurut artikel ini.'Coccyx' yang juga merupakan tulang terakhir dalam susunan dari atas ke bawah tulang belakang ini rupa-rupanya sudah mula disebut oleh Rasulullah S.A.W. sejak 14 abad dahulu.
















Sabda baginda:
"Semua bahagian tubuh anak Adam akan dimakan tanah kecuali tulang sulbi yang daripadanya ia 
 diciptakan dan daripadanya dia akan dibangkitkan." (Riwayat al-Nasa'i, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Apakah tidak jelas lagi tentang kebenaran Islam? Jika tidak masakan Rasulullah S.A.W. yang dikenali sebagai seorang yang buta huruf mempunyai ilmu setinggi itu. Di manakah baginda mengetahui perihal tersebut sedangkan pada zaman itu belum ada lagi teknologi-teknologi canggih untuk mengetahui perihal sains perubatan ini? Masya-Allah....

Berbalik kepada cerita tulang sulbi, ilmu perubatan membuktikan bahawa zigot (ovum yang sudah disenyawakan dengan sperma) akan membahagi menjadi struktur pertama iaitu 'hujung ekor' (menurut pemahaman saya tulang sulbi). 'Hujung ekor' ini akan terus membahagi menjadi struktur-struktur lain sehingga menjadi seorang manusia yang sempurna. Satu lagi fakta menarik tentang tulang sulbi ini ialah ia dikatakan tidak akan hancur tidak kira berapa ribu tahun pun manusia itu sudah meninggal dunia. Kajian ini dibuktikan benar oleh seorang saintis Jerman Hans Spemann yang telah memenangi hadiah Nobel hasil kejayaan beliau membuktikan tulang sulbi ini tidak akan rosak sel-selnya meskipun dibakar atau dikisar (setelah dikisar sudah tentu struktur fizikalnya hancur, tetapi sel-sel dalamannya masih hidup). Kajian yang sama juga telah dilakukan oleh dua orang saintis Islam yang bernama Dr. Uthman Jailani dan Syeikh Abdul Majid al-Zindani dari Universiti Sana'a, Yaman. Hans Spemann juga berjaya membuktikan bahawa keupayaan sel-sel coccyx tumbuh semula bila ia cuba dimasukkan ke dalam embrio-embrio lain.

Berdasarkan maklumat tersebut, bila kita kaitkan dengan hadith yang telah dinyatakan di atas pengarang menyimpulkan bahawa tulang yang dikatakan tidak akan hancur inilah yang akan menjadi 'benih' yang akan membangkitkan semula manusia di akhirat nanti.

Firman Allah S.W.T.:
"Apabila bumi digoncangkan dengan (goncangan yang dahsyat). Dan bumi mengeluarkan beban yang berat (yang dikandung di dalamnya). Dan manusia bertanya:'Mengapa bumi (menjadi begini)? " (Surah al-Zalzalah 99: 1-3)

Turut dinyatakan menurut kitab Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah karangan Syeikh Muhammad Aman Aljami, 'Apabila benih-benih ini dikeluarkan ke permukaan bumi, Allah S.W.T. akan mengeluarkan hujan dari langit. Air hujan ini turun seumpama air mani lelaki lalu menumbuhkan bahagian-bahagian hujung ekor itu sebagaimana pokok-pokok yang tumbuh dari tanah'.

Artikel ini cukup memberi kepuasan kepada saya yang telah menceburi bidang sains sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hakikatnya, Islam sendiri telah lengkap dengan pelbagai pengetahuan. Lebih hebat lagi pengetahuan tersebut datangnya 'direct' dari Yang Maha Pencipta lagi Yang Maha Mengetahui.Tinggal lagi kita sahaja mencarinya menerusi hadith dan al-Quran. Subhanallah....Allah sahaja mengetahui betapa saya mengagumi kasih sayang dan kebesaran-Nya.

Wallhualam.......

No comments:

Post a Comment